PERSATUAN Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) menerusi syarikat bimbingannya, Pittagon Sdn Bhd (Pittagon) akan mewujudkan lebih 200 stokis menjelang tahun ini bagi memasarkan tiga produk inovatif yang berasaskan buah naga.
Antara produk yang diperkenalkan adalah minuman kesihatan teh buah naga, enzim buah naga merah probiotik dan sup buah naga yang akan mula dipasarkan di pasaran tempatan menjelang Jun depan.
Pengerusinya, Muzamir Mustafa, berkata Pittagon akan berperanan memasar, mengumpul dan mengeluarkan ketiga-tiga produk berkenaan termasuk meneroka pasaran luar negara.
Menurutnya, ia adalah produk seumpama dihasilkan daripada tanaman berkenaan di negara ini sekali gus merancakkan usaha mengkomersial buah itu kepada produk yang lebih pelbagai.
“Usaha mempelbagaikan tanaman ini juga sebahagian daripada inisiatif kami meningkatkan sumber pendapatan 25 usahawan tani buah itu yang diwujudkan PUGM pada tahun 2006.
“Jika sebelum ini, setiap usahawan mampu mendapat pendapatan sehingga RM1,500 sebulan menerusi pembekalan produk buah naga, kini mereka mampu mencapai pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur semalam.
Buat masa ini, sumber utama bahan mentah bagi menghasilkan ketiga-tiga produk itu diperolehi daripada 25 usahawan bimbingan itu yang mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 30 hektar di Kluang, Johor termasuk 20 hektar milik PUGM Holdings.
Katanya, tanaman seluas 50 hektar itu mampu mengeluarkan hasil antara tujuh hingga 10 tan sebulan.
“Umum mengetahui khasiat buah naga mampu mengelakkan kanser usus, mencegah sembelit, menguatkan tulang dan pertumbuhan badan serta kaya dengan Vitamin C,” katanya.
Malah, ketiga-tiga produk itu masing-masing dihasilkan daripada batang, isi dan bunga buah berkenaan selain turut mencampurkannya dengan isi buah.
Muzamir berkata, pihaknya turut mengalu-alukan mereka yang berminat menjadi stokis produk berkenaan di setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, bagi mempromosikan produk itu, pihaknya akan menganjurkan Hari Buah Mata Naga pada Jun depan.
HARIAN METRO, ISNIN 12 MAY 08